hit counter

hit counter html code

Monday, February 14, 2011

tanjak melayu


sayer dapat ni dari email mengenai tanjak yang dipakai oleh raja2 sultan kita..tanjak jugak biasanya dipakai oleh raja sehari..kalau tk pakai tanjak mcam tak kena lak ya..so loyann je la


Pengenalan

Tanjak, tengkolok atau destar adalah salah satu busana pada bahagian kepala lelaki Melayu yang sering dikaitkan dengan istana, kepahlawanan dan dipakai dalam pelbagai acara adat istiadat bangsa Melayu.

Tanjak pada kebiasaanya akan dipadankan dengan bengkung, sampin dan baju Melayu beserta keris selit bagi pakaian lelaki Melayu.

Tanjak belum lagi dicipta pada zaman sebelum zaman kesultanan Melayu Melaka. Pada zaman itu, hanya sehelai kain digunakan dan diikat di kepala untuk menutup rambut supaya kelihatan kemas.

Ikatan kain ini lama kelamaan berubah dan menjadi semakin cantik mengikut peredaran zaman, diolah dan diubahsuai mengikut taraf seseorang itu.

Orang Melayu Melaka telah menggunakan kebijaksanaan mereka untuk mengubah sehelai kain untuk dipakai sebagai penutup kepala. Tanjak dahulunya merupakan lambang status seseorang.

Hanya yang berada sahaja pada ketika itu mampu memakainya dan tanjak juga merupakan sebahagian pakaian raja atau sultan.

Tanjak raja pada zaman Melaka dibuat dari kain sutera dari China atau India manakala orang kebanyakan menggunakan tanjak dari kain biasa.

Sejarah pemakaian tanjak di Perak pula dikatakan berasal dari sejarah lagenda kedatangan Sultan Muzaffar untuk ditabalkan di negeri Perak.

Mahkota raja yang dipakainya dibuang ke laut kerana perjanjian dengan penjaga laut untuk terus mudik ke negeri Perak. Pakaian kepala kemudiannya direka untuk mengantikan mahkota raja dan dipanggil tengkolok raja.

Bentuk, Rekaan dan Lipatan Tanjak

Koleksi Tanjak - Nik Hamid

Rekaan tanjak biasanya berkait rapat dengan status sipemakai. Apa yang dipakai oleh rakyat biasa berbentuk simpulan dan diubahsuai dari rekaan asal yang dipakai oleh raja. Rakyat tidak boleh memakai bentuk tanjak yang sama dengan bentuk tanjak raja atau sultan.

Kebanyakan tanjak sekarang dibuat dari kain songket. Untuk membuatnya, kain songket bersaiz 31 x 31 diambil dan dilipat dua kepada bentuk tiga segi bersama kertas keras, sebelum digosok dan dijahit. Untuk membuat bentuk tertentu, dawai atau lidi akan dimasukkan bersama lipatan supaya tanjak terbentuk keras dan cantik pada segi tertentu.

Jenis Lipatan Tanjak

  • Dendam Tak Sudah
  • Belalai Gajah
  • Setanjak Balung Raja
  • Sarang Kerengga
  • Sekelungsung Bunga
  • Ketam Budu
  • Kacang Dua Helai Daun
  • Solok Timba
  • Mumbang Belah Dua
  • Sekolongsang Bunga
  • Cogan Daun Kopi
  • Balung Ayam
  • Ayam Patah Kepak
  • Pucuk Pisang
  • Buana
  • Sering
  • Getam Pekasam
  • Anak Gajah Menyusu
  • Pari Mudek
  • Lang Menyusur/Menyonsong Angin
  • Lang Melayang

Jenis Tanjak yang Dipakai oleh Raja atau Sultan Negeri (sumber: rajamenangis.blogspot.com).

DTS

Tengkolok yang dipakai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada hari pertabalan adalah berwarna hitam bersulam benang emas.

Lipatannya dinamakan Dendam Tak Sudah yang berasal dari Negeri Sembilan.

Pada bahagian hadapan tengkolok ini dipasangkan anak bulan dengan bintang pecah empat belas yang diperbuat daripada emas putih dan di tengah-tengah bintang terletak lambang kerajaan Malaysia yang berwarna-warni.

Dendam Tak Sudah: Tengkolok KDYMM Sultan Kedah Darul Aman.

Pakaian D.Y.M.M Sultan Kedah Darul Aman ini adalah ikatan/lipatan baru yang berasaskan kepada lipatan Dendam Tak Sudah dari Negeri Sembilan.

Lipatan ini dicipta setelah terjalin perkahwinan diraja antara Kedah dan Negeri Sembilan. Destar daripada kain songket berwarna hitam ini adalah pakaian rasmi baginda.

Daun lambaian kasihnya menghala ke kanan manakala pucuk destar yang melambangkan kuasa terletak di sebelah kiri, yang menunjukkan pemakainya adalah raja yang memerintah.

Dendam Tak Sudah: Tengkolok KDYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Destar daripada songket berwarna kuning ini adalah pakaian rasmi D.Y.M.M Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Sewaktu memakainya, kedudukan pucuknya yang dipanggil “tunas kasih” harus diletak tepat di atas mata kiri dan daun lambaian kasihnya pula dihalakan nke arah kanan. Cara ini menunjukkan pemakainya adalah raja yang memerintah negeri.

Sekelungsung Bunga: Tengkolok KDYMM Sultan Pahang Darul Makmur.

Di negeri Pahang Darul Makmur terdapat beberapa jenis destar yang pernah dipakai oleh D.Y.M.M Sultan Pahang.

Tengkolok ’Sekelunsung Bunga’ yang diperbuat daripada kain songket yang warna natarnya biru kundang bersulam kencana ini adalah pakaian rasmi yang dipakai D.Y.M.M Sultan Pahang pada masa sekarang.

Walaupun bentuk destar ini agak ringkas dengan bahagian daunnya melonjong ke atas dan bahagian bawahnya mengembang seperti sebuah kelungsung bunga, seperti terdapat perbezaan di antara destar yang dipakai oleh kerabat diraja dengan destar yang dipakai oleh orang biasa, khususnya dari sudut posisi daun dan pucuk destar yang dipanggil ’sula’.

Ketam Budu: Tengkolok KDYMM Sultan Kelantan Darul Naim.

Destar jenis ini merupakan lipatan yang dipakai oleh D.Y.M.M sultan dan pembesar di negeri Kelantan.

Perbezaannya hanya pada warna natar kain destar dan sedikit bentuk bunga pucuk di bahagian atas depan kepala yang menyerupai bunga mekar.

Ikat kepala ini dapat dikenali dengan mudah kerana ikatannya menutup seluruh bahagian kepala pemakai, tidak seperti jenis-jenis destar lain yang terdapat di Semenanjung Malaysia.

Ayam Patah Kepak: Tengkolok KDYMM Raja Muda Perak Darul Ridzuan.

Destar berwarna putih bersulam benang perak yang diberi nama Ayam Patah Kepak ini, adalah pakaian khusus untuk Raja Muda Perak Darul Ridzuan masa kini.

Dalam etika berpakaian adat-istiadat melayu, warna adalah unsur penting kerana warna menggambarkan kedudukan atau status sosial seseorang. Putih adalah warna khusus untuk Raja Perak manakala kuning adalah untuk D.Y.T.M Raja Muda dan warna hitam untuk D.Y.A.M Raja Di Hilir, Perak.

Dendam Tak Sudah: Tengkolok KDYMM Sultan Perlis.

Tengkolok Dendam Tak Sudah digunakan sebagai pakaian rasmi D.Y.M.M. Tuanku Raja Perlis. Warna natarnya kuning muda, manakala lipatannya sebanyak lima takuk bernama lipatan daun palas.

Setanjak Balung Raja: Tengkolok KDYMM Sultan Selangor Darul Ehsan.

Destar daripada jenis kain songket berwarna kuning ini adalah pakaian rasmi D.Y.M.M. Sultan Selangor. Ia dipakai oleh baginda sultan dalam majlis adat istiadat diraja negeri Selangor, seperti istiadat pertabalan, hari keputeraan dan lain-lain.

Reka bentuk destar ini diambil daripada tengkolok Balung Ayam dari negeri Perak, setelah terjalin perkahwinan diraja di antara kerabat negeri Selangor dan Perak.

Belalai Gajah: Tengkolok KDYMM Sultan Terengganu Darul Iman.

Destar Belalai Gajah adalah pakaian rasmi bagi D.Y.M.M. Sultan Terengganu. Destar ini diperbuat daripada kain songket bunga penuh warna kuning.

Daun pada bahagian atas depan destar ini dibentuk secara menggulung ke atas, seakan-akan seekor gajah sedang melambung belalainya.

Bahagian bawahnya pula terdapat tiga takuk lipatan dan pucuk destar yang disebut sula diletakkan pada sebelah kanan, melambangkan pemakainya adalah seorang raja.

Tengkolok di-Raja Negeri Perak

Gambar dan catatan di bawah dikongsi dari blog sembangkuala.

Jenis lipatan dan warna adalah berdasarkan kedudukan dan hanya berhak dipakai oleh golongan tertentu sahaja.

1. DYMM Sultan – Balong ayam. Warna putih dan emas..
2. DYTM Raja Muda – Ayam patah kepak. Warna kuning dan emas.
3. DYAM Raja Di-Hilir – Lang Menyusun Angin/Lang Menyonsong Angin. Warna hitam dan perak.
4. Empat Raja Bergelar – Lang sioh. Warna ungu dan perak.
5. Orang Besar Empat – Getam pekasam/Ketang pekasam. Warna hijau dan perak.

balong-ayam

Gambar di atas: Balong Ayam.

patah-kepak

Gambar di atas: Patah Kepak.

lang-menyonsong-angin

Gambar di atas: Lang Menyonsong Angin

g-pekasam-g-menyusu-p-pisang-pth

Gambar di atas: Dari kiri, Getam Pekasam, Anak Gajah Menyusu dan Pucuk Pisang Patah

Corak

Corak berteraskan tumbuh-tumbuhan jelas pada nama beberapa tanjak seperti Mumbang Belah Dua, Sekelongsong Bunga, Cogan Daun Kopi.

Pengaruh haiwan pula terpancar pada nama-nama seperti Balung Ayam, Ayam Patah Kepak, Pari Mudek, Lang Menyongsong Angin dan Lang Melayang.

Mengikat Tanjak

Cara mengikat tanjak pula bergantung kepada kedudukan orang yang memakainya. Lebih tinggi statusnya, lebih indah dan banyak lipatan kain pada tanjak itu.

Kalau raja, penghujung tanjak pasti tinggi dan tajam, iautu melambangkan darjat dan kuasanya. Kalau pendekar, ikatannya lebih kemas dan duduk tegap mencerminkan kegagahannya.

Langkah Melipat Tanjak

  • Langkah bermula
  • Risik melangkah
  • Risik bertemu
  • Cincin dikembang
  • Lambai kasih
  • Kasih berjawab
  • Kasih bermula
  • Bertemu kasih
  • Gelombang kasih
  • Lambaian kasih

Dengan kepelbagaian cara membentuk dan mengikat tanjak, menggambarkan betapa tingginya daya penciptaan pereka-pereka bentuk tanjak tradisi Melayu.

Keindahan dan kesenian reka bentuk tanjak masih terpelihara dengan baik dan utuh meskipun zaman silih berganti dan kepentingannya dalam masyarakat moden sudah berkurangan.


No comments:

Post a Comment